PERCAYA
kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan
berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan
malaikat mendapat keistimewaan.
Dalam hidup, kita sangat memerlukan
bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan
sokongan malaikat sangat diperlukan. Ketika kita menghadapi masalah,
kerumitan, keperluan dan bimbingan,
bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan
malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:
1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci,
malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun
hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana
tidur dalam keadaan suci.”
2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Tidaklah salah seorang antara kalian yang
duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali
kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’“
3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”
4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah:Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”
5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir
al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana
sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.“
6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Kalangan malaikat akan selalu berselawat
kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana
ia melakukan solat.”
7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Kalangan malaikat berkumpul pada saat
solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang
sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat
pada siang hari tetap tinggal. “Kemudian mereka berkumpul lagi pada
waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga
solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka:
“Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?” Mereka menjawab: ‘Kami datang
sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka
sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari
kiamat.’ “
8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang
dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan
dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil
baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan,
malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia
dapatkan.’”
9. Orang yang membelanjakan harta (infak). Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tidak satu hari pun di mana pagi harinya
seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu
antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang
berinfak…’”
10. Orang yang sedang makan sahur. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”
11. Orang yang sedang melawat orang sakit. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”
0 komentar:
Posting Komentar